Kementerian Perpaduan perlu proaktif, bukan semua orang boleh sabar dalam isu agama

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Kementerian Perpaduan perlu mengambil langkah proaktif demi menangani isu hangat khususnya berkaitan agama yang boleh mencetuskan kebencian dan perpecahan antara kaum.

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, pemberian penjelasan perlu disemarakkan supaya semua pihak faham tentang sensitiviti agama, kaum dan bangsa yang perlu dihormati antara satu sama lain.

“Bukan semua orang boleh sabar, apatah lagi mengenai keagamaan. Jadi tolonglah senaraikan, jemput semua yang ada pengetahuan tentang setiap segmen dalam masyarakat supaya kita boleh memahamkan semua pihak untuk jelaskan perkara yang boleh pecah belahkan dalam negara kita. Apatah lagi bila ia berkaitan agama ia akan menyebabkan bibit kebencian dan syak wasangka.

“Apakah kerajaan mungkin perlu buat surat kepada industri-industri, kepada kilang pembuatan, jabatan agensi kerajaan NGO apatah lagi yang berkaitan pakaian, orang Islam pun tidak letak kalimah Allah di tikar sembahyang sebab ia di bawah. Jadi ini perlu difokuskan oleh Kementerian perpaduan,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, isu agama pada akhirnya mengundang tindakan tuding jari antara satu sama lain.

“Cukuplah kita saling tuding menuding perkara yang boleh dielakkan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, isu penjualan stoking bercetak kalimah Allah oleh KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) menjadi hangat dan pertikaian pelbagai pihak.

Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung perbuatan itu.

Ia bermula pada 13 Mac lalu apabila tular dalam media sosial isu gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart membuat permohonan maaf.

Terkini dilaporkan, polis sudah melengkapkan dua kertas siasatan membabitkan KK Mart dan kilang pengedar yang mengimport stoking yang tertera kalimah Allah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang–Undang (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.