Wan Saiful sedia beri kerjasama jika SPRM jawab persoalan imuniti ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 15 Mac - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya suruhanjaya itu dapat menjawab segala persoalan yang timbul berhubung imuniti anggota Dewan Rakyat di bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Ia berhubung kenyataan dibuat Wan Saiful semasa menyertai perbahasan titah diraja pada 28 Februari lalu di Dewan Rakyat berhubung tawaran habuan untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejurus itu, SPRM telah memerintahkan Wan Saiful untuk memberikan keterangan berhubung kenyataan itu yang dijadualkan pada 13 Mac lalu dan terbaharu pada petang ini.

Menurut peguam Wan Saiful, Chetan Jethwani, tindakan SPRM untuk memanggil anak guamnya melanggar prinsip pengasingan kuasa Parlimen dan mencabuli keistimewaan serta kekebalan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Katanya, ia sejajar prinsip Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 telah digubal untuk menegakkan pengasingan kuasa dan kebebasan ahli-ahli Parlimen untuk bercakap dan berbahas dalam Parlimen.

“Oleh itu, dengan hormatnya kami berpandangan wajarkah pihak tuan menyelidik had bidang kuasa SPRM untuk membuat pemeriksaan kepada ahli-ahli Parlimen yang bercakap dalam sidang Dewan Rakyat, termasuklah anak guam kami.

“Anak guam kami sedia memberikan kerjasama sekiranya SPRM dapat menunjukkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 boleh dilanggar dalam kes ini, sedangkan ucapan diberikan anak guam kami adalah di Parlimen.

“Sekiranya persoalan-persoalan ini dapat ditangani pihak tuan, anak guam kami sedia mempertimbangkan untuk hadir pada minggu depan,” katanya menerusi surat tuntutan bertarikh 14 Mac kepada SPRM.

@wansaifulwanjan

Isu imuniti: Wan Saiful bangkitkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) Petang tadi, saya membangkitkan persoalan mengenai Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) iaitu imuniti daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat di dalam sesi Parlimen oleh pihak berkuasa. #wansaifulwanjan #parlimen #dewanrakyat sprm imuniti tasekgelugor bangi bersatu #perikatannasional #fyp

♬ original sound - Wan Saiful Wan Jan - Wan Saiful Wan Jan

Sebelum ini, Wan Saiful mendakwa beliau diberikan notis oleh SPRM untuk merakam percakapannya kerana mengeluarkan kenyataan menerima habuan supaya menyokong kerajaan.

Beliau menyifatkan notis diterimanya adalah tidak adil termasuk berbahaya kerana kononnya boleh mengancam imuniti ahli Parlimen daripada pendakwaan dan keistimewaan semasa berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat.

Menurut Chetan, Wan Saiful telah diperintahkan hadir untuk sesi rakaman percakapan di ibu Pejabat SPRM pada pukul 3 petang ini, namun masa ditetapkan tidak sesuai kerana anak guamnya perlu ke Pulau Pinang untuk melaksanakan tugas yang telah dirancang lebih awal.

Katanya, sebelum itu pada 13 Mac, Wan Saiful juga telah menerima perintah menghadiri pemeriksaan oleh SPRM berkaitan ucapan tersebut.

“Anak guam kami sentiasa memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada SPRM dan tidak mempunyai masalah dalam hal ini, sekiranya ia patuh kepada undang-undang,” katanya.