Manifesto Pakatan Harapan

Kebebasan dan keadilan untuk semua, selaras dengan seruan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dalam Pemasyhuran Kemerdekaan.

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan keindahan semulajadi, sumber alam, dan rakyat yang majmuk. Jika kita berusaha, kita sebenarnya boleh membawa negara ini ke satu kedudukan yang jauh lebih baik.

Tetapi rakyat kini menghadapi pelbagai kekangan yang menghalang mereka daripada mencapai potensi diri yang sepenuhnya. Manakala golongan elit yang berkuasa pula terlalu sibuk memastikan mereka kekal berkuasa, sehingga usaha membebaskan rakyat daripada pelbagai belenggu tidak dilakukan dengan sebaiknya. Mereka mentadbir kita dengan cara memecahbelahkan kesepaduan rakyat, dengan mengeksploitasi fahaman agama dan bangsa yang sempit.

Semua belenggu penghalang ini perlu dihapuskan, dan semua penguasa yang hanya mementingkan tembolok masing-masing perlu dikesampingkan. 

Saya mahu menghapuskan kekangan-kekangan ini agar kita semua boleh mencapai potensi paling tinggi yang kita mampu.Saya mahu memerdekakan rakyat agar mereka boleh mencapai potensi diri yang terbaik. Dan saya mahu menghapuskan tembok pemisah berteraskan kaum yang sekian lama dimomokkan kepada kita. Saya yakin jika semua ini dapat dilakukan, insha Allah negara Malaysia ini akan dapat sekali lagi menjadi sebuah negara yang dikagumi dunia.