FAQ

Pengalaman saya sebagai penggubal dan pengkaji dasar telah mencelikkan mata saya – saya sedar bahawa masalah utama yang melanda negara kita berasal di peringkat politik. Sekiranya saya mendiamkan diri, itu bermakna saya membiarkan kemerosotan ini berterusan. Kerjaya saya sebelum ini memberi peluang kepada saya untuk mengintip di belakang tabir. Saya tak boleh hanya terus mendengar dan mengkaji sahaja kerana bencana yang melanda negara kita adalah amat jelas – iaitu ketiadaan keinginan politik untuk membaiki keadaan.

Sekiranya kita tidak berusaha untuk mengubah suasana politik negara, Malaysia akan kekal menuju ke arah yang songsang dan salah. Sekiranya dibiarkan, ada kemungkinan keadaan akan bertambah teruk dan menjadi mustahil untuk kita baiki. Saya mahu mencuba sedaya upaya untuk membawa perubahan politik ini sekarang, sebelum ianya terlambat.

Sebagai seorang Muslim, saya tahu bahawa ada hadis yang diriwayatkan dari Abi Sa’id Al-Khudri r.a. yang mana beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barang siapa diantaramu melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya dengan tangan, jika ia tak sanggup maka dengan lidah, dan jika tak sanggup maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemahnya iman.” [Riwayat Muslim]

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَقُولُ: “مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ” .

Sokongan yang diperlukan bukanlah semata-mata untuk kemenangan saya, tetapi untuk usaha membawa penambahbaikan yang perlu didokong oleh semua dengan apa cara sekalipun. Saya hanya salah seorang yang mengusahakan matlamat ini, dan saya amat berterima kasih kepada semua yang membantu.

Saya berniat untuk membawa suatu budaya politik baru, budaya yang lebih terbuka untuk menerima dan menyokong perubahan. Dasar-dasar kerajaan mestilah membawa kebaikan kepada rakyat secara keseluruhan. Pentadbiran negara juga mestilah lebih telus dan bebas dari rasuah serta ketirisan. Usaha-usaha ini adalah proses yang akan mengambil jangka panjang dan untuk memastikan ianya terus berjalan, sokongan rakyat adalah amat penting

Agenda utama PPBM adalah untuk mempertahankan dan mengembalikan integriti institusi-institusi pentadbiran negara yang telah dicabul oleh UMNO dan Barisan Nasional selain bertekad mempertahankan hak Melayu seperti yang dimeterai dalam Perlembagaan Malaysia.

Saya mendokong prinsip-prinsip ini dan yakin bahawa sekiranya agenda ini tercapai, seluruh rakyat akan mendapat manfaat.

Niat saya adalah untuk memenangi kerusi Parlimen di Pendang. Dengan izin Allah swt dan sokongan rakyat, saya akan memastikan bahawa suara rakyat di Pendang akan didengarkan di Parlimen.

Saya menyertai politik untuk menyumbang kepada perdebatan politik yang lebih matang. Matlamat saya adalah untuk membantu Pakatan Harapan menang, dan niat saya adalah untuk membantu PPBM merealisasikan janji-janji di dalam manifesto kami.

 

 

Impian saya adalah untuk berkhidmat dengan pentadbiran negara yang menggubal dasar berteraskan fakta dan kajian, bukan berdasarkan sentimen pecah dan perintah rakyat semata-mata. Dasar tersebut mestilah digubal untuk kebaikan semua rakyat tanpa mengira latar belakang, berdasarkan kerangka yang telah sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Keputusan orang atas mengenai dasar dan polisi perlulah dibuat dengan cara yang terbuka, telus dan berasaskan fakta.

Saya juga mengimpikan satu budaya baru yang mana para pemimpin sentiasa mendengar suara rakyat, atau lebih “bottom-up” serta menyokong sesiapa yang ingin berkhidmat untuk rakyat. Budaya cantas-mencantas apabila ada orang yang dianggap sebagai ancaman perlu dihapuskan, dan apabila ada orang yang menunjukkan potensi untuk naik ke atas, maka kita perlu ada struktur sokongan untuk membolehkan ia berlaku dengan baik.