[:en]

Wan Saiful Wan Jan

Wan Saiful Wan Jan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), PPBM

Wan Saiful Wan Jan diumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 1 Mac 2018 dan terus dilantik menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi serta Timbalan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar parti tersebut pada tarikh yang sama.

Lahir di Berek Polis Jalan Kolam Ayer, Alor Setar, Kedah, pada 20 Jun 1975. Almarhum bapa beliau merupakan seorang bekas korporal polis. Manakala ibu beliau pula ialah pesara guru. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Dato Arifin Mohd Nam, Perlis; sebelum melanjutkan pengajian ke Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur; Tonbridge School, England; Northumbria University (UK) dan Middlesex University (UK).

Wan Saiful Wan Jan

Pengalaman Kepimpinan

Sebelum menyertai PPBM, Wan Saiful merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), iaitu sebuah badan pengkaji polisi yang beliau asaskan. Hasil kepimpinan beliau selama lapan tahun, IDEAS mendapat pengiktirafan sebagai salah satu badan pengkaji polisi yang terbaik di Asia. Beliau meletak jawatan dalam IDEAS pada 28 Februari 2018 untuk menyertai politik secara aktif. Selain itu, beliau juga pernah memegang tanggungjawab berikut:

• Pengerusi Istanbul Network for Liberty (2014-2018), sebuah rangkaian pengkaji antarabangsa mengenai perkembangan demokrasi di negara-negara umat Islam

• Felo Pelawat Kanan di ISEAS Yusuf Ishak Institute, Singapura

• Ahli Lembaga Pengarah Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI)

• Penasihat Kehormat kepada Dewan Perniagaan Malaysia China (MCCC)

• Ahli Badan Penasihat Universiti Antarabangsa Laureate Malaysia, iaitu pemilik Universiti dan Kolej INTI

• Ahli Lembaga Pengelola Sekolah Swasta Rafflesia

• Penyelidik, Conservative Party Research Department, United Kingdom

Aktiviti Kemasyarakatan

Wan Saiful sering diundang untuk memberikan pandangan kepada media tempatan dan luar negara. Beliau pernah mempunyai kolum tetap dalam Bahasa Inggeris dalam akhbar The Star ( 2012 - 2018) dan Bahasa Cina dalam akhbar Sin Chew Daily (2016 - 2018). Pendapat beliau sering dipetik oleh pelbagai media antarabangsa termasuklah BBC, Reuters, Bloomberg, Al-Jazeera dan The Economist.

Kepakaran Wan Saiful dalam bidang pembuatan dasar juga diperakui apabila beliau dilantik pada bulan Ogos 2015 sebagai Ahli Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang dibentuk oleh Perdana Menteri Malaysia.

Wan Saiful aktif dalam kegiatan kemasyarakatan untuk membantu golongan yang memerlukan di kawasan bandar.

Pada tahun 2014 beliau menubuhkan IDEAS Academy iaitu sebuah pusat pendidikan peringkat menengah untuk kanak-kanak dari keluarga kurang bernasib baik di Kuala Lumpur. IDEAS Academy kini mempunyai 150 pelajar dari keluarga terpinggir.

Lebih awal dari itu, beliau telah menubuhkan Taska Autisme IDEAS, sebuah pusat pendidikan dan kebajikan untuk anak-anak istimewa dari keluarga berpendapatan rendah di Selangor.

Sumbangan beliau dalam bidang kemasyarakatan mendapat pengiktirafan apabila pada 14 Januari 2015, Wan Saiful merupakan individu tunggal yang dianugerahkan Darjah Tuanku Muhriz (DTM) sempena ulang tahun ke-67 keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

VIDEO

[:]