Nampaknya isu Hasan Ali masih tak habis lagi. Dalam Malaysiakini hari ini ada kecaman baru pula terhadap beliau.
Hasan Ali sekali lagi cuba menjadi hero. Kali ini beliau mahu menjadi hero untuk pegawai-pegawai kerajaan, agar para pegawai ini tidak dibuli oleh SELCAT. Sebelum ini beliau cuba menjadi hero orang Islam apabila mahu menyekat penjualan minuman keras.
Pernah juga beliau cuba menjadi hero AJK masjid. Beliau mahu memberikan kuasa yang lebih kepada pemegang jawatan tertentu dalam masjid-masjid di Selangor untuk menjadi polis akhlak.
Malangnya usaha Hasan untuk menjadi hero bagi kelompok tertentu menyebabkan beliau menjadi petualang dalam Pakatan Rakyat.
Sebelum saya pergi lebih lanjut, saya perlu menjelaskan bahawa saya bersetuju dengan kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Hasan. Seruan beliau agar SELCAT memikirkan kembali cara mereka menyoal saksi memang tepat sekali.
SELCAT merupakan satu institusi baru dalam sistem politik Malaysia. Masih belum ada institusi seumpama SELCAT di dewan undangan negeri-negeri lain. Malahan di peringkat parlimen pun belum ada institusi yang betul-betul sama seperti SELCAT.
Sebagai sebuah institusi baru, maka SELCAT perlu sedar bahawa tindak tanduk mereka sentiasa diperhatikan. Seteru-seteru politik, termasuk media yang tidak selari dengan Pakaratan Rakyat, pasti akan cuba mencari kelemahan yang boleh dieksploitasi.
SELCAT sepatutnya bersedia sejak awal lagi untuk menghadapi cabaran ini. Kalau sudah tahu bahawa media arus perdana tidak menyebelahi mereka, kenapa pula mereka sengaja mencipta perkara-perkara yang memang boleh dieksploitasi.
Maka cadangan Hasan agar operasi SELCAT diperhalusi dan diperbaiki adalah amat baik.
Tetapi malangnya Hasan memilih cara yang salah untuk menyuarakan pandangan. Para penyokong beliau mengatakan bahawa Hasan hanya memberikan cadangan kepada SELCAT. Tetapi para penyokong Hasan tersalah kerana sebenarnya Hasan memberikan cadangan kepada media mengenai SELCAT.
Hasan dan para penyokongnya berlakon seolah-olah tidah cukup pandai untuk menyedari bahawa cara yang beliau gunakan untuk menyuarakan pandangan hanya akan melemahkan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.
Sebagai exco kerajaan negeri, kenapa beliau tidak menyuarakan pandangan beliau dalam mesyuarat exco? Malahan, apa salahnya jika beliau mengajak ahli-ahli SELCAT untuk duduk minum kopi dan makan karipap sambil bersembang mengenai bagaimana untuk memperbaiki operasi SELCAT? Bukankah mereka ini sepatutnya berkawan?
Hasan merupakan seorang yang bijak. Saya pernah bertemu beliau semasa lawatan beliau ke London dan saya tidak menafikan bahawa memang beliau seorang yang pandai. Tetapi jika cara bodoh digunakan untuk menyampaikan pandangan, maka idea bijak daripada orang bijak tidak akan dihiraukan. Malahan cara bodoh itu juga menyebabkan kesetiaan PAS kepada Pakatan Ralyat dipersoalkan.
Saya juga pelik kenapa Presiden PAS membisu dalam hal ini. Hasan sudah berkali-kali menimbulkan kekacauan terhadap keharmonian Pakatan Rakyat. Tetapi Presiden seolah-olah tidak peduli dengan apa yang berlaku.
Jawatan Pesuruhjaya merupakan jawatan yang dilantik oleh Presiden. Dalam Harakahdaily dilaporkan bahawa selepas mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor baru-baru ini, Hasan mempertegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang boleh mempersoalkan perlantikan oleh Presiden itu.
Kenyataan itu seolah-olah cuba menyatakan bahawa apabila Hasan melakukan sesuatu tindakan, ia mencerminkan sikap yang disokong, malahan dikehendaki, oleh Presiden. Dengan cara menyimpan Hasan sebagai Pesuruhjaya, apakah Presiden PAS memang mahu Pakatan Rakyat bercelaru di Selangor?
Saya masih ingat semasa saya mengikuti usrah-usrah PAS dahulu, naqib berulang kali mengingatkan bahawa ada adab-adab tertentu yang perlu dipatuhi dalam kita menyuarakan pandangan. Apabila saya menjadi naqib pun itulah yang saya sebutkan kepada anak-anak usrah. Cara yang lebih baik ialah untuk tidak menegur secara terbuka kerana ada maslahah yang perlu dijaga. Itu merupakan akhlak pejuang Islam.
Tetapi benarkah itu akhlak yang patut diikut? Akhlak yang ditunjukkan oleh Hasan berbeza kerana beliau memilih saluran media, dan membelakangkan mekanisme syura dalaman bersama pemimpin kerajaan negeri yang lain. Adakah ini akhlak baru yang perlu diamalkan oleh ahli-ahli PAS, terutamanya PAS Selangor?
Mungkinkah selepas ini, dalam usaha mengikut akhlak yang ditunjukkan oleh Hasan sebagai pemimpin parti Islam, maka adalah lebih afdal bagi mereka yang tidak bersetuju dengan beliau untuk terus pergi bercakap dengan media?
Tetapi saya juga tidak menafikan bahawa persoalan mengenai mekanisme menyampaikan teguran dan pandangan ini bukan isu yang mudah untuk diselesaikan. Memang benar ada adab yang perlu dijaga. Tapi bagaimana jika kita tidak bersetuju dengan keputusan majoriti? Bagaimana jika keputusan majoriti ialah keputusan yang salah? Contohnya, jika majoriti membuat keputusan untuk tidak membetulkan kesilapan yang nyata, bagaimana sikap kita?
Recent Comments