Artikel di bawah telah disiarkan dalam kolum saya di Utusan Malaysia hari ini.
————
Toleransi majoriti kulit putih di Aidilfitri
23 September 2009
Tahun ini merupakan tahun ke tujuh belas saya meraikan 1 Syawal di perantauan. Memang suasana hari raya di tempat orang berbeza dari tempat sendiri. Tetapi ia tetap meriah.
Saya sekeluarga menyambut Aidilfitri kali ini di Luton, sebuah bandar kira-kira 50 kilometer ke utara London.
Kami memilih untuk tinggal di Luton kerana kos sara hidupnya lebih rendah berbanding London. Tambahan pula ada perkhidmatan keretapi dari Luton terus ke stesen London Bridge yang betul-betul bersebelahan dengan pejabat saya. Maka lokasi Luton memang amat sesuai untuk kami.
Bilangan penduduk di Luton ialah sekitar 185,000 orang. Sudah pasti majoriti penduduknya berkulit putih. Kaum minoriti hanyalah 35 peratus sahaja. Umat Islam di sini pula tidak sampai pun 15 peratus.
Luton tidak mempunyai universiti yang menjadi tumpuan pelajar Malaysia. Maka bilangan warga Malaysia yang tinggal di Luton amat kecil, kira-kira lima belas keluarga sahaja. Semuanya adalah golongan pekerja.
Walaupun peratusan penduduk Islam di Luton tidak besar, bandar ini mempunyai banyak masjid. Bilangan yang saya tahu ialah tiga belas buah. Mungkin ada lagi yang saya tidak tahu.
Masjid-masjid di sini ditubuhkan oleh komuniti Muslim sendiri. Komuniti Muslim terbesar ialah daripada Pakistan dan Bangladesh. Mereka giat berusaha menubuhkan masjid dengan cara mengutip derma daripada masyarakat setempat dan membeli bangunan yang kemudiannya diubah suai menjadi masjid.
Alhamdulillah pihak berkuasa tempatan Luton, walaupun dikuasai oleh mereka yang tidak beragama Islam, amat menghormati keperluan tempat ibadah kaum minoriti. Permohonan untuk menubuhkan masjid baru biasanya diproses dengan telus dan cepat.
Penduduk Luton juga menghormati kami yang beragama Islam walaupun kami hanyalah golongan minoriti. Sepanjang enam tahun saya bermastautin di Luton, saya bersyukur kerana orang bukan Islam di sini mengamalkan akhlak yang boleh dikatakan selari dengan akhlak Islam apabila berurusan dengan keperluan ibadat.
Sejak beberapa tahun lepas, menjadi tradisi warga Malaysia di Luton untuk bertakbir dari rumah ke rumah pada malam hari Raya. Tahun ini juga sama. Sebaik sahaja diumumkan bahawa 1 Syawal jatuh pada hari Ahad, maka terus ada SMS yang saya terima menyatakan bahawa takbir akan bermula jam sembilan malam.
Walaupun hanya ada beberapa orang sahaja memimpin takbir rumah ke rumah, perasaan seronok jelas terbayang di wajah semua. Lebih-lebih lagi di kalangan anak-anak. Gembira sekali mereka apabila berpeluang memimpin takbir.
Pelbagai irama dan cara sebutan ada pada malam itu. Seorang rakan mengatakan bahawa irama takbir kami bercampur-campur antara nada Melayu, Inggeris dan Bollywood!
Kami bertakbir sehingga kira-kira jam 1 pagi. Memang letih. Tetapi peluang beraya setahun sekali tidak mungkin mahu dilepaskan.
Pada pagi hari raya pertama, seperti biasa saya sekeluarga bersolat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Ghurabaa. Memang saya biasanya memilih untuk solat di masjid ini kerana bahasa pengantarnya ialah Bahasa Inggeris.
Masjid-masjid lain kebanyakannya menggunakan Bahasa Urdu atau Bengali. Rugi pula rasanya kalau pergi ke masjid-masjid itu kerana tidak faham khutbahnya.
Semasa saya berjalan ke kereta selepas habis solat sunat Aidilfitri, saya terserempak dengan satu keluarga yang memakai pakaian tradisional Afrika. Mereka bertanya jalan untuk pergi ke sebuah kelab milik Parti Konservatif cawangan Luton.
Rupa-rupanya mereka ini keluarga Muslim dari Ghana. Terdapat sekitar seratus orang Islam Ghana yang menetap di Luton. Mereka menyewa dewan di dalam bangunan Parti Konservatif cawangan Luton untuk mengadakan solat Aidilfitri dalam bahasa mereka sendiri.
Selepas sahaja solat, kami tidak pulang ke rumah. Sebaliknya kami ke rumah rakan-rakan yang mengadakan rumah terbuka. Rumah terbuka juga merupakan satu lagi tradisi warga Malaysia di sini. Maklumlah, bukan ada saudara mara lain yang boleh diziarahi. Maka rakan-rakanlah yang menjadi pengganti. Anak-anak saya juga nampak gembira dapat bermain dengan rakan sebaya.
Sepanjang hari saya dan keluarga bertandang ke rumah rakan-rakan di Luton. Menu jamuan pun tidak kurang hebatnya. Lemang, rendang, nasi himpit, lodeh, laksa, nasi minyak, sambal goreng, semuanya ada.
Jika hendak difikirkan mengenai kaum majoriti kulit putih di sini, memang sambutan Aidilfitri oleh umat Islam banyak mengganggu mereka.
Lalu lintas teruk tergendala sepanjang pagi hari raya pertama. Oleh kerana tempat letak kereta semuanya penuh, maka jemaah yang pergi bersolat sunat meninggalkan kereta mereka berlapis-lapis di tepi jalan. Ini menyebabkan jalan banyak yang tersekat.
Semasa kami menjalankan takbir dari rumah ke rumah pula, gema takbir sudah pasti boleh didengari oleh jiran-jiran yang bukan beragama Islam. Takbir itu berlarutan sehingga hampir jam 1 pagi. Saya yakin ada sahaja yang terganggu tidur mereka.
Kemudian, sepanjang hari raya pertama, kami bertandang pula ke majlis-majlis rumah terbuka. Mustahil kita boleh menyekat kanak-kanak yang gembira menyambut raya daripada membuat bising. Maka sekali lagi kemeriahan syiar Islam ini mengganggu ketenteraman hari minggu kaum majoriti di Luton.
Tetapi semua gangguan yang disebabkan oleh sambutan Aidilfitri ini tidak dimarahi oleh majoriti orang kulit putih di sini. Malahan ada di antara mereka yang turut berkongsi kegembiraan. Tidak sedikit yang turut serta dalam majlis-majlis rumah terbuka dan membawa buah tangan kepada tuan rumah.
Saya bersyukur kerana walaupun kami berada ribuan batu dari kampung halaman, kami masih boleh menyambut Aidilfitri dengan meriah. Biarpun umat Islam tidak ramai bilangannya, kami tetap bebas untuk meraikan hari kebesaran agama.
Sifat toleransi dan muhibah merupakan antara akhlak mulia yang diajar oleh Islam. Pengalaman hidup di negara orang mengajar saya bahawa orang bukan Islam juga ramai yang mengamalkan akhlak ajaran Nabi.
Filed under: Britain
Wan, Selamat Hari Raya.
Just curious, what’s your take on SIOE (Stop Islamisation of Europe)? How has that affected Muslims there, in particular the UK?
salam..
saya suhaila. nak tanya. ada tak malaysian soc di luton? university of luton? tak silap, uni tu da tukar nama. penting.
terima kasih.