WanSaiful.com

Personal thoughts of Wan Saiful Wan Jan

Islam Liberal atau Liberalisme? (satu surat terbuka)

I have to write this one in Malay as I think this is the best way to reach my aims.

Satu surat terbuka

Assalamualaikum,

Pagi tadi saya mendengar satu ceramah bertajuk “Pandangan Islam terhadap Liberalisme” yang ustaz sampaikan. Alhamdulillah ini merupakan satu ceramah yang amat baik, jauh lebih baik daripada beberapa ceramah atas yang sama yang pernah saya dengar sebelum ini. Izinkan saya mengimbas kembali beberapa isu penting yang Ustaz sampaikan, dan saya harap Ustaz boleh betulkan jika saya tersalah dengar.

1. Liberal ertinya bebas. Islam Liberal (IsLib) ertinya Islam yang tidak terikat dengan mana-mana sumber asli.
2. Terdapat perbezaan antara dua bentuk kebebasan (hurriyah). Kalau tak salah, dua kategori tersbut ialah hurriyatul-fitri dan hurriyatul-ta’bir. Maaf jika salah kerana saya tak dapat mendengar sepenuhnya sekitar 15 minit bahagian ini.
3. Islam ada garispanduan tertentu dalam urusan kebebasan berfikir. Tetapi Islam tidak menghalang kebebasan berfikir.
4. Untuk bercakap mengenai sesuatu perkara, kita mestilah mahir dalam perkara tersebut. Contohnya, walaupun Imam Syafi’i mempunyai kitab Musnad Imam Syafi’i, beliau tidak dianggap sebagai ahli hadith. Sebaliknya beliau kekal sebagai ahli fiqh. Begitu juga, urusan kesihatan perlu diserahkan kepada ahli ilmu kesihatan.
5. Masalah timbul kini kerana Islam dianggap sebagai agama teori, dan bukan agama praktis. Oleh kerana Islam tidak ada ruang untuk Islam yang praktis, maka kita terus menerus membahaskan teori.
6. Sekiranya ada ruang untuk Islam dijelmakan sebagai pkraktis, maka kita akan menyaksikan keindahan Islam.
7. Imam As-Suyuti mengatakan bahawa “tidak ada faedah daripada percakapan yang tidak dipraktikkan.”
8. IsLib adalah ciptaan Amerika yang dipasarkan ke negara-negara umat Islam atas nama demokrasi. Terdapat organisasi yang ditaja oleh Amerika yang bergerak atas nama hak asasi manusia tetapi agenda asasnya adalah IsLib.
9. Amat berbahaya sekiranya golongan IsLib diberi ruang yang luas tetapi ulama Islam tidak dibenarkan bercakap. Ini berkemungkinan merosakan aqidah umat.
10. IsLib menggunakan “reverse methodology” – mereka cuba menimbulkan kebaikan daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah. Ini boleh merosakkan aqidah, terutama jika ulama tidak mempunyai ruang untuk menyampaikan kebenaran.
11. Liberalisme adalah senjata musuh dan merbahaya kepada agama.
12. Tidak harus kita bercakap tanpa ilmu mengenai hal tersebut. Di kalangan penganut IsLib, mereka ada yang bukan pakar dalam ilmu tertentu tetapi mereka tetap mahu mengulas ilmu itu. Islam mengajar kita supaya bertanya kepada orang yang “ahli” dalam bidangnya, dan Islam juga mengajar kita agar tidak mengikut sesuatu yang kita tidak ada ilmu mengenainya.
13. Gerakan Islam tidak diberi ruang untuk menyampaikan mesej kebenaran mereka, tetapi golongan liberal diberikan ruang yang luas.

Pada penghujung sesi tersebut, saya menyatakan pandangan bahawa kemungkinan Ustaz keliru antara IsLib dengan Liberalisme. Setakat ceramah Ustaz tadi, saya tidak nampak pertentangan antara pandangan Ustaz dengan pandangan yang mungkin disampaikan oleh golongan Liberal Klasik. Tetapi jelas sekali bahawa Ustaz tidak bersetuju dengan Islam Liberal. Saya mencadangkan bahawa kita perlu membezakan antara IsLib dengan Liberalisme.

Sebagai respon, ustaz menyatakan bahawa liberalisme ialah kebebasan berfikir dengan mutlak. Ustaz memberikan contoh bahawa pelopor IsLib di Malaysia ialah Astora Jabat dan Sisters in Islam. Ustaz mempertegaskan bahawa bukan semua orang layak untuk bercakap mengenai Islam. Imam Bukhari ialah muhaddith, dan beliau tidak dikenali sebagai fuqaha. Imam Qurtubi ialah mufassir, dan dia tidak dianggap sebagai fuqaha. Begitu juga, dalam bidang perubatan, pakar bius tidak boleh bedah jantung. Ustaz menyebut “Dalam Islam Liberal, dia lebih menjuruskan kepada orang yang bercakap tentang semua perkara dalam Islam, padahal dalam Islam ini ada specialist masing-masing dan kalau kita mahir dalam satu perkara, kita tidak semestinya mahir dalam perkara kedua.” Ustaz menyambung bahawa “Dalam Islam Liberal ini … yang bercakap mungkin ada background Islam, tetapi dia bercakap tentang dia perkara yang bukan bidangnya.” Dalam menjawab persoalan saya, Ustaz amat mempertekankan mengenai pentingnya “specialist knowledge” sekiranya kita mahu bercakap mengenai sesuatu hal.

Malangnya kita tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyambung perbincangan. Maka, saya menyebut tadi bahawa saya akan cuba menyambung perbincangan melalui email dan juga blog saya.

Izinkan saya mengulang kembali apa yang saya cuba utarakan. Saya amat bersetuju dengan apa yang Ustaz sebutkan mengenai pentingnya kita mengetahui apa yang kita hendak perkatakan. Saya melihat bahawa Ustaz seolah-olah telah membuat kajian mengenai IsLib maka saya tidak mahu mempersoalkan komen-komen Ustaz mengenai IsLib.

Bagaimanapun, pembentangan Ustaz tadi amat terpesong daripada Liberalisme. Terdapat perbezaan yang luas antara “Islam Liberal” dengan Liberalisme, terutamanya “Liberalisme Klasik”.

Suka saya mencadangkan bahawa:
1. Tajuk sebenar pembentangan Ustaz tadi ialah “Pandangan Islam terhadap Islam Liberal”, bukan “Padangan Islam terhadap Liberalisme”, atau, mungkin lebih tepat lagi: “Pandangan Ustaz terhadap Islam Liberal”. Saya yakin ini satu kekeliruan yang tidak disengajakan kerana tidak mungkin Ustaz sengaja mahu membuatkan pendengar salah faham.

2. Ustaz bukanlah seorang pakar dalam bidang Liberalisme kerana nampaknya Ustaz telah terkeliru sejak peringkat awal definisi lagi. Maka, berdasarkan keyakinan terhadap apa yang Ustaz sendiri sebut mengenai pentingnya ilmu apabila mahu memperkatakan sesuatu hal, Ustaz bukan orang terbaik untuk menjadi tempat rujuk mengenai Liberalisme, dan oleh itu semua pandangan yang Ustaz sampaikan tadi tidak boleh dianggap sebagai kritikan terhadap Liberalisme. Ia hanya kiritikan terhadap “Islam Liberal” dan saya tidak menafikan bahawa mungkin Ustaz pakar dalam juzuk ini.

Nama-nama seperti Astora Jabat dan Sisters in Islam bukanlah nama yang saya kenali sebagai golongan “Liberal.” Mereka ini golongan “Islam Liberal.” Apabila Ustaz menyebut sahaja nama-nama mereka, maka jelaslah kepada saya bahawa Ustaz telah terkeliru. Nampaknya Ustaz tercampur antara “Islam Liberal” dengan “Liberalisme”. Lihat komentar pendek saya di sini.

Izinkan juga saya memberi sedikit ulasan mengenai Liberalisme. Sebagai seorang yang baru belajar mengenai Liberalisme, saya sebenarnya bukan “pakar” tetapi saya rasa saya boleh memberikan pandangan berdasarkan apa yang saya telah pelajari. Saya juga merasakan bahawa penerangan ini penting kerana pembentangan Ustaz tadi penuh dengan kekeliruan mengenai “Liberalisme” dan “Islam Liberal”.

(NB: Semua nota di bawah merujuk kepada konsep Liberalisme Klasik, yang juga dikenali sebagai Libertarianisme)

Liberalisme Klasik mempunyai beberapa ciri-ciri penting. Dalam buku The Libertarian Reader, David Boaz menulis bahawa “the main thread of libertarianism goes back to the Jewish and Greek idea of a higher law, a law by which everyone, even the ruler, could be judged.” Ini menunjukan bahawa golongan liberal klasik tidak menolak wujudnya satu “higher” authority, yang mana ini boleh ditafsir sebagai agama. Golongan Liberal Klasik mempertahankan hak untuk beragama dan hak untuk mengamalkan agama.

Para pemikir Liberalisme Klasik juga ramai yang mempertahankan apa yang Islam tuntut kita perjuangkan:

- David Hume pernah menulis mengenai hak memiliki harta – satu hak yang mungkin kita boleh katakakan sebagai telah diperkukuhkan dengan kedatangan Islam.

- Mary Wollstonecraft tegas mahukan wanita dihormati, satu prinsip mulia dalam Islam.

- Alexis de Tocqueville berkali kali mengluas mengenai pentingnya demokrasi, satu lagi perkara yang kita di Malaysia sedang bermati-matian cuba pertahankan.

- Wilhelm von Homboldt dan John Stuart Mill pula banyak memperkatakan mengenai betapa pentingnya manusia memperbaiki diri masing-masing, satu usaha yang sinonim dengan seruan Islam agar kita mempebaiki akhlaq.

- Malahan, Ibn Khaldun, seorang pemikir liberal klasik yang ulung, menulis panjang lebar mengenai pentingnya sistem ekonomi dan sistem sosial yang adil, serta pentingnya kita mewujudkan keharmonian negara bersandarkan semangat persaudaraan, bukan berdasarkan paksaan undang-undang.

Dan banyak lagi.

Lihat juga tulisan Professor Philip Booth dalam buku Towards a Liberal Utopia?. Dalam mempertegaskan pandangan golongan liberal yang mendokong perkembangan civil society, beliau menyatakan bahawa “… the institutions that make up civil society and help regulate our lives, in the best sense, such as family, Church, clubs and societies … go a long way towards providing stability and a genuine sense of community”. Sebagai seorang non-Muslim, pastilah beliau menulis “Church”. Tetapi ini menunjukan bahawa institusi-institusi agama merupakan antara elemen penting bagi pemikir Liberal Klasik dan kita boleh sahaja menulis “Masjid” jika kita mahu!

Saya bersetuju dengan Ustaz bahawa ada bahaya besar sekiranya mereka yang tidak mahir mengenai Islam diberikan ruang yang luas untuk bercakap mengenai Islam. Saya setuju bahawa di kalangan mereka yang pakar mengenai satu juzuk ilmu Islam, mereka tidak semestinya mahir dalam juzuk lain. Apabila mereka yang tidak tahu bercakap seolah-olah tahu, maka, sama seperti Ustaz, saya bimbang jika nanti akan lahir ajaran salah.

Saya berharap kita konsisten dalam hal ini. Ada bahaya besar sekiranya seseorang yang tidak tahu mengenai Liberalisme bercakap seolah-oleh dia tahu. Dan, ada bahaya besar apabila seseorang yang hanya tahu mengenai “Islam Liberal” bercakap seolah-olah dia tahu mengenai semua benda berkaitan Liberalisme. Sekali lagi, apabila mereka yang tidak tahu bercakap seolah-olah tahu, maka, sama seperti Ustaz juga, saya bimbang jika nanti akan lahir ajaran salah.

Saya juga merasakan bahawa bahaya paling besar ialah maruah Ustaz sebagai penceramah yang saya hormati mungkin tercemar kerana, tatkala Ustaz menuntut agar hanya seseorang yang tahu sahaja bercakap mengenai sesuatu perkara, rupa-rupanya kita juga bercakap mengenai pekara yang kita tidak tahu! Ini contoh nyata cakap tak serupa bikin.

Pendeknya,seseorang yang tahu mengenai Islam Liberal belum tentu benar-benar faham mengenai konsep Liberalisme. Kita perlu membezakan antara dua konsep ini kerana kalau tidak, seperti yang rakan saya sebutkan tadi, mungkin sahaja kita tersalah “tembak”. Akhirnya yang malu ialah diri sendiri. Sebagai rakan, saya tidak mahu ini berlaku.

Dengan semangat “jangan kamu ikut sesuatu perkara yang kamu tidak tahu” yang Ustaz sendiri sebut (berdasarkan Surah Al-Isra ayat 36), saya amat mengalu-alukan sekiranya Ustaz boleh memberikan pandangan lanjut mengenai hal ini. Insha-Allah, seperti juga surat terbuka ini, saya akan paparkan komentar Ustaz dalam blog saya.

Wassalam
-wan-

Advertisement

Filed under: Freedom & Liberty, Malaysia, Politics, , , , ,

7 Responses

  1. Amin Ahmad says:

    Well said bro Wan,

    Kempen Sapere Aude! (Berani Untuk Tahu!) – Jangan Haram Buku!

    Jemput menyertainya – maklumat lanjut di http://www.patahbalek.blogspot.com dan http://www.becok.blogspot.com

    Untuk makluman, buku Islam dan Pluralisme yang disusun Mustaqeem antara buku yang baru diharamkan oleh KDN.

  2. ABU SAIF says:

    Salam…

    This is what I am always afraid of. Berhajat mahu mengulas perkembangan semasa tetapi kekurangan tools. An ustaz should ‘torture’ himself to learn many things outside his syllabus. Tidak perlu pandai untuk rajin, tetapi untuk pandai kenalah rajin-rajinkan diri.

  3. acabeire says:

    salam

    i think this is our job to help the ulama to get with the soft skills and knowledges about humanism

    i was attending a lecture in dublin mosque. the title was love and key to paradise. the chairperson for the event said that the ustaz can clarify the matter of love between the different gender among the youth and how to attain the key to jannah.

    however, the speaker even has a fierce face and long beard (if u know what i mean) and the contents were too dry with only fiqh, jugdmental, hadith and quran. he only interpret it literally from the nas without even making it beautiful for the readers to understand the concept.
    i think this is our responsibility to help the ustaz to berpijak di bumi yang nyata
    as for me, i will try to imitate the popular language skill in my writing to attract the masses to read my article
    waAllahualam

  4. muhammad says:

    Selamba jer sang liberal menceduk khazanah Islam dan menampilkan dengan wajah yang agak tampak segar berjenamakan liberal,
    Sang komunis, sang sosialis dan sang kapitalis letak duduknya di mana? Sang Islamis takkan meraba lagi ke? Jangan terpegun sudahlah.
    Apa yang baik, di ambil-Apa yang tidak baik, ditolak.
    Kayu ukurnya sudah ada kan.
    Sang intelek negara pula jangan lupa pula untuk menambah satu lagi kayu ukur = nilai dan kedudukan masyarakat kita.

    -Sang tak ketahuan-

  5. tovzde mutjpfo sygnz dzaqkgjol ksegbxiwd wxlide tukrlqs

  6. Sulaiman says:

    Bgus skali…saya mmg sedang mencari akan Liberal ini…
    bg saya Islam Liberal tidak patut wujud apatalah lagi diterima masyarakat Islam…

    namun ada yg mempersoalkan adakah Liberal dlm keilmuan, ekonomi dan disiplin lain yg tidak bertentangan ngan akhidah,akhlak dan syariat sesuatu yg boleh diteriman…??
    kerana perkembangan Istilah Liberal ini makin tersebar…

  7. mamie says:

    sbg org islam yg sentiasa mencari ilmu utk memperbaiki diri,ternyata byk dakyah2 sesat yg mengelirukan kita.iman yg tipis tak mampu menangkis.hanya petunjuk Allah n akal dpt membantu.malanglah bg mereka yg terpesong kerana kemodenan ciptaan org kafir.org islam mundur sbb asyik bertelagah.betepok sorak setan n iblis.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

Gravatar
WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.